KARANGAN LARAS SASTERA

Karangan laras sastera melibatkan dua bahagian iaitu Sains Sosial dan Kemanusiaaan. Sains Sosial meliputii sosiologi, antropologi, pendidikan, politik, ekonomi, psikologi, geografi, pelancongan, komunikasi dan alam sekitar. Bidang Kemanusiaan pula meliputi sejarah, falsafah, keagamaan, sukan, bahasa & linguistik, perundangan, kesusasteraan dan peradaban

Monday, February 21, 2011

TEMA MINGGU INI : SENI WARISAN NEGARA

CONTOH SOALAN:
Permainan tradisional semakin dipinggirkan pada zaman ini. Pada pendapat anda, perlukah usaha-usaha dilakukan untuk mempertahankan permainan tradisional ini?

PERBINCANGAN:

Kepentingan permainan tradisional

Pada era pascamodenisasi ini, rakyat kita telah menikmati pelbagai kemajuan dan pembangunan fizikal yang pesat. Ironinya pelbagai warisan nenek moyang kita semakin dipinggirkan oleh masyarakat kita, terutamanya golongan muda. Salah satu khazanah kebudayaan kita yang semakin luntur dalam gaya hidup yang moden ini ialah permainan tradisional kita yang terdiri daripada congkak, wau, gasing dan sebagainya. Oleh itu, generasi muda perlu disedarkan tentang kepentingan permainan tradisional kepada bangsa dan negara.

Salah satu kemaslahatan permainan tradisional ialah permainan ini merupakan kebanggaan aset budaya bangsa Malaysia. Hal ini demikian kerana permainan tradisional adalah ciptaan nenek moyang kita yang melambangkan ciri-ciri kebudayaan bangsa kita. Permainan tradisional tidak boleh disamakan dengan permainan elektronik atau permainan siber. Alat permainan tradisional juga merupakan satu seni budaya yang amat unik dan terunggul. Sebagai contohnya, wau bulan telah dihias dengan kertas warna-warni yang dilukis dan digunting dengan cantik nian. Jika permainan tradisional kita telah lenyap di bumi kita, apakah kebudayaan yang dapat memperlihatkan maruah bangsa kita? Ingatlah peribahasa, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.”

Tambahan pula, permainan tradisional juga merupakan satu daya tarikan yang signifikan dalam industri pelancongan. Selain menyaksikan pemandangan alam semula jadi yang indah dan menikmati juadah yang lazat di negara kita, para pelancong pasti ingin menghayati corak budaya kita yang berwarna-warni. Lantaran itu, permainan tradisional berupaya memukau hati pelancong yang melawat ke Malaysia. Seperti peribahasa, “Tak kenal maka tak cinta“, setelah diperkenalkan kepada pelancong, lazimnya mereka akan berminat dan turut bermain dengan seronoknya terhadap permainan tradisional. Rentetan daripada itu, hotel- hotel lima bintang dan pusat peranginan yang terkemuka di negara kita patut menyediakan tapak dan alat permainan tradisional kepada pelancong asing kita. Hal ini bukan sahaja dapat memangkinkan industri pelancongan tetapi juga memperkenalkan kebudayaan kita kepada bangsa lain, seperti peribahasa, “serampang dua mata.” Ternyata, permainan tradisional merupakan salah satu tarikan dalam industri pelancongan.

Lebih-lebih lagi, permainan tradisional dapat mengukuhkan hubungan masyarakat kita yang berbilang bangsa dan sentiasa sibuk mengejar kekayaan duniawi. Dengan adanya permainan tradisional itu, pelbagai kaum dalam masyarakat kita dapat bermain bersama secara beramai-ramai. Tamsilnya, terdapat kawasan lapang yang sering dibanjiri oleh orang ramai untuk bermain layang-layang. Peminat itu tidak mengira bangsa dan budaya tetapi bersama-sama memperlihatkan lelayang yang beraneka corak . Mereka juga berkongsi idea dan pendapat tentang lelayang mereka. Tidak hairanlah akan tercetusnya suasana yang muhibah dan harmoni dalam masyarakat. Mereka turut melegakan tekanan dan menghabiskan masa bersama dengan keluarga sendiri. Senario ini jauh lebih baik daripada individu yang asyik bermain permainan komputer di kamar sendiri tanpa berinteraksi dengan orang lain.

Natijahnya, permainan tradisional merupakan khazanah warisan yang tidak ternilai. Oleh itu generasi muda bertanggungjawab untuk melestarikan khazanah ini daripada generasi kepada generasi, seperti peribahasa, “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.” Walaupun zaman beredar, tetapi segala warisan yang baik dan sejati perlu diperkukuh supaya bangsa kita tidak digelar sebagai etnik yang tidak berakar umbi dan sentiasa terhanyut oleh arus globalisasi.

Cara-cara untuk Mengembangkan Permainan Tradisional di Negara Kita

Dasawarsa ini, negara kita sedang menempuh arus globalisasi dan modenisasi sehingga mengalami pembangunan yang pesat sekali. Sehubungan dengan itu, permainan tradisional turut dipandang enteng dan dikesisikan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Hal ini berkait rapat dengan perkembangan permainan komputer dan permainan siber yang popular dalam kalangan remaja dan belia kita. Adakah kita sanggup membiarkan khazanah kebudayaan kita ditelan dalam pengedaran zaman dan lenyap dalam bumi kita? Tepuk dada tanya selera. Sebelum nasi menjadi bubur, kita perlu mencari pendekatan yang efisien untuk membangkit permainan tradisional di negara kita semula, seperti peribahasa, “di mana batang terguling, di situ cendawan tumbuh.”

Sesungguhnya, Kempen Cintai Permainan Tradisional merupakan salah satu alternatif yang ampuh untuk mengembang permainan tradisional di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara secara besar-besaran dengan kerjasama pihak media massa, terutamanya media cetak dan media elektronik, iaitu surat khabar dan pihak televisyen. Pihak berkenaan perlu menyiarkan dokumentari dan rencana untuk memperkenalkan permainan tradisional di negara kita, seperti wau, gasing, congkak dan lain-lain. Selain memperkenalkan sejarah dan cara bermain, pihak media perlu menyedarkan orang ramai tentang kepentingan permainan tradisional terhadap masyarakat dan negara. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti peraduan karang-mengarang, pameran, dan peraduan poster dan sebagainya, bak kata peribahasa, “ tak kenal maka tak cinta.” Lantarannya golongan muda pasti terpengaruh oleh kempen tersebut dan berminat terhadap permainan tradisional kita.

Selain itu, pihak sekolah perlu menjadikan permainan tradisional sebagai kegiatan kokurikulum di sekolah. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah harus digalakkan supaya menubuhkan kelab atau persatuan permainan tradisional. Berpaksikan kelab permainan tradisional, pelajar boleh diajar tentang cara membuat alat permainan, cara bermain dan lain-lain lagi. Setelah disuntik ilmu itu, pelajar akan berminat untuk melibati permainan tradisional tersebut. Generasi muda merupakan tunjang yang bakal mewarisi pucuk kepimpinan dan mewarnai masyarakat kita kelak. Nescaya pelibatan pelajar secara langsung dalam permainan tradisional dapat memajukan permainan tersebut di tanah air kita daripada membiarkan seni budaya kita terus lenyap dan pupus begitu sahaja. Bak kata peribahasa, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”, atas komitmen pihak sekolah, putera-puteri yang sedang berjuang dalam medan ilmu pengetahuan dapat bergiat aktif dalam permainan tradisional untuk melegakan tekanan sebagai kegiatan riadah.

Sementelahan pula, pertandingan merupakan inisiatif yang dominan untuk membangkit permainan tradisional dalam masyarakat kita. Hal ini demikian kerana sebagai fitrah, manusia memang suka bertanding dan berlaga. Lantarannya, pihak Kementerian Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Pelancongan Malaysia dan agensi kerajaan boleh bergabung dengan korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis untuk menganjurkan pertandingan permainan tradisional dari peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hingga antarabangsa. Salah satu contoh yang terbaik ialah Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor. Pertandingan layang-layang itu berjaya menarik peminat-peminat permainan tersebut dari seluruh dunia untuk mengambil bahagian. Hal ini berjaya mempromosikan pelancongan dan permainan tradisional kepada pelancong asing, selaras dengan peribahasa, “menyelam sambil minum air”.

Secara intihanya, permainan tradisional harus dilestarikan supaya tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Jika semua pihak bersikap acuh tak acuh dan hanya melepaskan batuk di tangga, khazanah budaya kita pasti akan lenyap di bumi kita. Ingatlah peribahasa, “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.”

No comments:

Post a Comment