KARANGAN LARAS SASTERA

Karangan laras sastera melibatkan dua bahagian iaitu Sains Sosial dan Kemanusiaaan. Sains Sosial meliputii sosiologi, antropologi, pendidikan, politik, ekonomi, psikologi, geografi, pelancongan, komunikasi dan alam sekitar. Bidang Kemanusiaan pula meliputi sejarah, falsafah, keagamaan, sukan, bahasa & linguistik, perundangan, kesusasteraan dan peradaban

Monday, February 21, 2011

TEMA MINGGU INI : SENI WARISAN NEGARA

KEPENTINGAN MEMPERTAHANKAN PERMAINAN TRADISIONAL

Sebagaimana kita sedia maklum, setiap negara di muka bumi bertuah ini memiliki permainan tradisional yang tersendiri. Jika ditinjau dari sudut sejarah, permainan tradisional dimainkan pada kala lapang sejak dahulu kala. Oleh hal yang demikian, permainan tradisional seperti congkak, guli, wau, gasing dan tingting memainkan peranan yang penting dalam mengisi masa lapang para penduduk zaman nenek moyang. Kini, permainan tradisional semakin dipandang enteng, justeru rakyat kita mula memboikot permainan ini tanpa menyedari kepentingannya.

Sebenarnya, rakyat Malaysia memainkan peranan penting dalam penjagaan permainan tradisional. Anjakan paradigma mestilah kita ambil agar permainan ini tidak hilang ditelan zaman. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Janganlah kita merindui permainan tradisional selepas permainan ini pupus ditelan zaman. Oleh itu, langkah mempopularkannya seperti kempen “Jom Main Permainan Tradisional” dan pertandingan bermain permainan tradisonal merupakan rencah maslahat untuk mempertahankannya. Langkah tersebut penting supaya ahli masyarakat mendapat pendedahan dan mempelajari permainan tradisional sepanjang kempen dan pertandingan dijalankan kerana tak kenal, maka tak cinta. Dengan langkah proaktif tersebut, kita dapat memastikan permainan tradisional mampu menjadi warisan budaya untuk generasi yang akan datang.

Realitinya, permainan tradisional memainkan peranan penting sebagai lambang keagungan bangsa dan negara tercinta ini. Oleh sebab rakyat negara ini berbilang kaum, permainan tradisional merupakan salah satu cara rakyat tanpa mengira kaum mengisi masa lapang. Tanpa melihat warna kulit mahupun agama, permainan tradisional dilihat sebagai permainan rakyat yang dapat menghidupkan kesuburan norma kehidupan murni. Kini, kerajaan sudah pun menjadikan permainan tradisional sebagai platform untuk menarik kedatangan pelancong asing ke negara kita. Yang di luar jangkaan, pelancong asing berasa teruja dan takjub dengan warisan bangsa kita dan sanggup tinggal lebih lama di sini hanya untuk mempelajari permainan tradisional kerana pelancong sedar akan peribahasa “sambil menyelam, minum air”. Hal ini sekali gus menjana pendapatan negara melalui industri pelancongan yang semakin meningkat.

Daripada persepsi cendekiawan, permainan tradisional merupakan sejenis pendidikan tidak formal yang amat tinggi nilainya. Hal ini demikian kerana kita dapat mematangkan pemikiran di samping membijakkan otak untuk berfikir secara kritis dan kreatif semasa memainkan permainan tardisional. Sebagai contoh, permainan congkak menguji kebijaksanaan dan kesabaran pemain memasukkan biji guli ke dalam “rumah” dan “kampung” pada papan congkak. Yang indahnya, kita dapat memupuk dan menyemai nilai-nilai murni dalan kalangan rakyat sesebuah negara supaya lebih cinta akan negara daripada dijajah oleh anasir jahat dari luar. Natijahnya, kita harus sedar bahawa permainan tradisional dapat mengukuhkan semangat perpaduan nasional dalam kalangan rakyat supaya mereka sedar bahawa “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

Akhirulkalam, permainan tradisional mestilah dihidupkan semula supaya menjadi tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Saya berharap, satu hari nanti, permainan rakyat ini akan lebih dipandang berat dan diapresiasi oleh segenap lapisan masyarakat di nusa ini. Warisan bangsa ini sebenarnya mestilah kita kekalkan demi kesejahteraan negara. Secara tidak langsung, permainan tradisional dapat mengharumkan nama negara dan menaikkan imej Malaysia di persada dunia. Kesimpulannya, saya berharap permainan tradisional di Malaysia akan terus popular dalam carta kehidupan rakyat dan terus diminati sebagai hobi yang berfaedah.

No comments:

Post a Comment