Pengiktirafan Tapak Warisan Dunia UNESCO Mampu Lonjak Ekonomi Negara - PM
KUALA LUMPUR - Pengiktirafan Melaka dan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah kategori kebudayaan mampu memberi lonjakan ekonomi kepada negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Sebagai sebuah negara di mana sektor pelancongan merupakan antara sektor terpenting kepadanya, pengiktirafan ini juga pastinya begitu dinantikan oleh Malaysia.
"Saya dimaklumkan bahawa berdasarkan analisis yang telah dijalankan, sesebuah kawasan atau tapak yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia, akan mencatatkan pertambahan kedatangan pelawat sehingga ke tahap 30 peratus pada tahun pertama," katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Watikah Melaka dan George town di Dataran Merdeka, di sini Sabtu malam.
Bagaimanapun, Abdullah berkata kerajaan kedua-dua negeri perlu berusaha sedaya upaya untuk melindungi tapak-tapak warisan itu.
"Ini adalah amat penting (untuk melindungi tapak-tapak warisan berkenaan) kerana kegagalan mereka untuk memastikan bahawa segala garis panduan yang ditetapkan, temasuklah perlunya kawalan terhadap pembangunan sentiasa dipatuhi, akan mengakibatkan pengiktirafan yang begitu kita usahakan ini akan ditarik balik," katanya.
Jika pengiktirafan itu ditarik balik, Abdullah berkata, ia adalah satu kerugian yang amat besar bukan sahaja kepada kedua-dua negeri tetapi juga kepada negara.
"Ingatlah, Malaysia hanya mempunyai tiga sahaja tapak warisan dunia. Justeru itu, pertahankanlah ia dengan apa jua cara sekalipun," katanya.
Sebelum Melaka dan Georgetown dipilih sebagai Tapak Warisan Dunia kategori kebudayaan, Taman Negara Kinabalu (Sabah) dan Taman Negara Mulu (Sarawak) telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia kategori Tapak Semulajadi pada tahun 2000.
Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menerima watikah pengiktirafan secara rasmi daripada Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia.
Hishammuddin terdahulu menerima watikah pengiktirafan itu daripada wakil UNESCO, Hubert J. Gijzen.
Abdullah berharap peruntukan RM50 juta kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dalam Bajet 2009 akan dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk pemeliharaan dan pemuliharaan warisan ketara dan tidak ketara di kedua-dua bandar itu.
Sementara itu, Abdullah melihat pengiktirafan Melaka dan Georgetown itu sebagai amat tepat dan bersesuaian.
"Sejarah Melaka dan Georgetown telah bermula sejak beratus tahun lamanya. Kedudukan kedua-dua kawasan ini begitu strategik iaitu di perairan Selat Melaka yang satu ketika dahulu menjadi laluan perdagangan terpenting antara Timur dan Barat.
"Kedatangan masyarakat dari serata dunia ke Melaka adalah permulaan kepada segalanya...Akhirnya Tanah Melayu menjadi sebuah negeri dengan penduduk berbilang bangsa hingga ke hari ini. Di situlah bermula sejarah Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi Malaysia," katanya.
Abdullah berkata sejarah itu dengan jelas menunjukkan bahawa sejak dahulu, masyarakat di negara ini sentiasa bersikap terbuka dan mengamalkan toleransi.
"Di tanah air kita ini, sejak dari dulu lagi, masyarakat berbilang kaum dapat hidup bersama serta bebas mengamalkan adat resam dan budaya masing-masing dalam suasana penuh aman dan harmoni," kata Abdullah.
Sumber: Berita Harian
Monday, February 21, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment