PENERBITAN, pengedaran dan penjualan bahan bacaan seperti buku, majalah, tabloid dan komik yang mengandungi unsur tahyul, khurafat serta kandungan yang bercanggah dengan akidah masih banyak di pasaran.
Bahan penerbitan picisan ini mendapat permintaan di kalangan pembaca, khususnya generasi muda disebabkan harganya murah dan mudah diperoleh, terutama di kedai kaki lima.
Mengikut Bahagian Tapisan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dari Januari hingga April lalu, lebih 12 buku yang memesong akidah dan mengelirukan masyarakat Islam dikesan berada di pasaran tempatan.
Pada 2003 pula lebih 40 buku dikemukakan bahagian berkenaan kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) untuk diharamkan.
Dengan perakuan itu, KKDN mengharamkan 35 penerbitan sepanjang 2003 selepas didapati melanggar Akta Mesin Cetak dan penerbitan 1984 (Pindaan) 1987. Bahan itu didapati menerbit atau menyiarkan bahan yang menyalahi garis panduan serta permit yang dikeluarkan KKDN.
Dari satu segi, keadaan ini secara tidak langsung memperlihatkan sikap sambil lewa penerbit atau penulis dalam mematuhi arahan pihak berkuasa berhubung kandungan bahan bacaan.
Dari sudut lain, ia menggambarkan sikap penerbit yang tamak meraih keuntungan daripada melunaskan tanggungjawab menerbitkan buku yang dapat membina minda masyarakat.
persoalannya, wajarkah perkara ini dibiarkan berleluasa, pada hal keburukan daripada bacaan bahan itu amat serius terhadap pembangunan minda masyarakat.
Kini ada pelbagai peraturan dan garis panduan, di samping beberapa akta dan enakmen negeri bagi menghalang mana-mana individu atau penerbit daripada menyiarkan sesuatu bahan penerbitan menyalahi ajaran Islam.
Kesalahan ini bukan saja menyalahi undang-undang sivil, malah enakmen jenayah syariah setiap negeri memperuntukkan bentuk kesalahan dan hukuman kepada sesiapa melakukan kesalahan sedemikian.
Seksyen 16, Enakmen Jenayah Syariah Selangor umpamanya menjelaskan, mana-mana orang yang mencetak, menyiarkan atau memiliki bahan bertentangan dengan Islam, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara selama dua tahun.
Jelas, undang-undang sedia ada mencukupi bagi mengawal mana-mana pihak terutama penerbit dan penulis daripada menyiarkan bahan yang menyalahi hukum Islam.
Bagaimanapun, penguatkuasaan yang lemah menyebabkan buku dan majalah berkenaan berleluasa.
Di pasaran terbuka saja, tidak kurang daripada puluhan bahan penerbitan seumpamanya ini dalam versi Melayu diterbitkan setiap bulan.
Itu belum termasuk bahan penerbitan yang diterbitkan dalam pelbagai bahasa dan dijual di pasaran gelap.
Tinjauan Berita Harian di beberapa kedai buku sekitar Lembah Klang mendapati, masih banyak buku mengandungi unsur negatif seperti tahyul, khurafat dan seks dijual secara berleluasa.
Paling mengejutkan, beberapa judul buku yang pernah diharamkan KKDN dijual, manakala penjual seolah-olah langsung tidak mengambil kisah mengenai status buku ini.
Penulis juga sempat membeli buku `Hadis: Jawapan Kepada Pengkritik� yang diharamkan KKDN pada 1994 di sebuah kedai buku di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Buku yang ditulis Kassim Ahmad itu walaupun kulitnya lusuh, namun kandungannya berupaya memesongkan akidah pembaca terhadap kesahihan hadis Rasulullah.
Keadaan ini menimbulkan pelbagai persoalan terhadap tahap penguatkuasaan serta kenapa ia boleh dijual seolah-olah tidak ada sebarang sekatan.
Dalam pada itu, difahamkan masalah ini berlaku berpunca daripada proses pewartaan pengharaman oleh KKDN yang kurang berkesan.
Ada kes di mana Bahagian Kawalan Penerbitan KKDN mengambil masa lebih lima tahun untuk mewartakan pengharaman sesebuah buku, meskipun ia diperakui haram oleh Jakim.
Justeru, sebelum proses pewartaan haram siap sepenuhnya, buku itu akan berada di pasaran hinggalah ada hitam putih daripada KKDN mengenai pengharamannya.
Kerenah birokrasi dan kelemahan penguatkuasaan ini hendaklah segera di perbaiki demi memastikan minda masyarakat terhindar daripada ilmu songsang yang amat dicela agama.
Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Zakaria Stapa, berkata buku dan majalah sebegini lebih banyak mendatangkan keburukan dan secara tidak langsung akan merosak minda generasi muda masa kini.
Katanya, bahan bacaan yang tidak bernilai ini sebenarnya hanya mendatangkan akibat negatif kepada sosiobudaya dan menimbulkan keresahan kepada masyarakat, terutama ibu bapa mengenai pemikiran anak mereka.
Malah katanya, tidak keterlaluan jika dikatakan bahan sedemikian memberi sumbangan terhadap keruntuhan moral dan akhlak, di samping menggalakkan lagi kepercayaan terhadap perkara syirik, khurafat serta tahyul.
�Usaha melahirkan masyarakat berilmu mungkin tidak akan tercapai jika pola pembacaan di kalangan masyarakat masih tertumpu pada bahan yang tidak berfaedah, apatah lagi membantu perkembangan intelektual generasi muda.
�Kita amat khuatir suatu masa nanti, perkara khurafat yang amat ditegah agama akan menjadi satu kepercayaan amat menebal dan diamalkan secara meluas oleh masyarakat.
�Kini pun ada yang percayakan bomoh hinggakan banyak kes menunjukkan mangsa sanggup menyerahkan tubuh mereka kepada bomoh,
�Keadaan ini menggambarkan sikap segelintir masyarakat kita yang tidak tahu menilai mana amalan yang dibenarkan agama atau sebaliknya,� katanya.
Dr Zakaria tidak menafikan, kini timbul trend baru dalam penerbitan buku dan majalah yang tertumpu pada persoalan ditegah agama atau membabitkan persoalan akidah.
Umpama, kata beliau, sesuatu hukum yang sudah disepakati ulama sebagai haram masih dipersoalkan oleh segelintir penulis kononnya untuk menggalakkan masyarakat berfikir.
Hakikatnya, beliau berkata, persoalan seperti aurat, azab kubur, hari kiamat dan perkara ghaib lain tidak perlu lagi dipertikaikan kerana ia sudah disepakati oleh ulama muktabar.
Dr Zakaria tidak menolak ada segelintir penulis di negara terpengaruh dengan corak pemikiran golongan orientalis yang mahu memesongkan akidah umat Islam.
Malah katanya, dalam soal keimanan kepada perkara ghaib, aspek logik tidak sepatutnya membatasi ketetapan hukum kerana dengan akal semata-mata, manusia akan terpesong daripada landasan kebenaran.
Selain penguatkuasaan beberapa langkah agresif hendaklah diambil termasuk meningkatkan lagi kempen membaca di kalangan masyarakat.
�Kempen membaca bahan bacaan ilmiah perlu diperhebatkan agar semua pihak dapat mengambil langkah bijak dengan selalu membaca bahan bacaan berfaedah,� katanya.
�Ia sekali gus akan melahirkan budaya membaca yang baik sama ada kepada masyarakat atau generasi akan datang.
�Bahan bacaan berbentuk ilmiah dapat menjamin dan menepati piawaian bagi membentuk pertumbuhan minda sihat dan jiwa murni,� katanya.
(Sumber : Berita Harian (22/06/2004) )
No comments:
Post a Comment